~ CliCk mY HeArT ~

Thursday, September 30, 2010

Azmil Mustapha masuk hospital di Syria




KUALA LUMPUR 29 Sept. – Bekas pelakon dan pendakwah bebas, Azmil Mustapha yang terkenal dengan watak ‘Ali Setan’ dikejarkan ke Hospital Al-Andalus, Damsyik, Syria pada awal pagi kelmarin selepas mengadu sesak nafas.

Azmil, 58, kini dirawat di unit rawatan rapi hospital berkenaan dan dijangka menjalani pembedahan pintasan koronari pada pukul 2 petang waktu tempatan (7 malam Malaysia).

Menurut anaknya, Nor Amalia Batrisya, bapanya kini berada dalam keadaan stabil dan doktor sedang memantau kesihatannya.

“Beberapa hari yang lalu babah (panggilan kepada bapanya) mengadu kurang sihat. Kami adik beradik menyangka babah sakit biasa sahaja.

“Bagaimanapun awal pagi kelmarin babah sukar bernafas dan kami membawa beliau ke hospital kerana bimbang melihat keadaannya,” kata Nor Amalia kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di Damsyik hari ini.

Azmil yang juga bapa tunggal kepada lima orang anak berlepas ke Damsyik bersama tiga daripada anaknya, Mohd. Bazli Zhafri, Nur Alia Iman dan Nor Amalia pada Syawal ketiga lalu untuk menyambung pengajian di sana.

Nor Amalia memberitahu, semasa mengadu sakit dada, bapanya ditemani oleh adik lelakinya, Mohd. Bazli Zhafri.

Katanya, biarpun dicadangkan oleh keluarganya di Malaysia supaya bapanya dibawa pulang ke tanah air untuk menjalani rawatan namun Azmil membuat keputusan untuk dirawat di Damsyik.

Pada masa yang sama, Nor Amalia menafikan dakwaan bapanya diserang angin ahmar seperti yang dilaporkan dalam beberapa laman sosial.

Menurut Nor Amalia, seminggu sebelum berlepas ke Damsyik bapanya menjalani pemeriksaan kesihatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur.

“Hasil daripada pemeriksaan itu doktor mengesahkan babah bebas daripada sakit jantung dan lain-lain.

“Bagaimanapun sebaik tiba di sini (Damsyik) babah tiba-tiba mengadu tidak sihat sehinggalah sesak nafas dan doktor di sini memaklumkan babah diserang sakit jantung,” katanya.

sumber: Utusan online
Oleh MUZLINA ABU BAKAR
muzlina.bakar@utusan.com.my

2 comments:

Suziey Ahmad said...

dh byk dia berubah..smga dia akn kembali sihat..

Fara said...

teringt cerita Ali Setan...mmg setan watak dia tu. xsangka skg ni dh byk berubah...syukur.
moga beliau kembali sihat, amin.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails